Jumaat, Januari 04, 2008

Tanaman Mangga pt1

Mangga

Nama saintifik

Mangifera indica

Nama tempatan

Bahasa Inggeris: Mango
Bahasa Melayu: Mangga, mempelam
Mandarin: Mangguo
Tamil: Maangai
Indonesia: Mangga
Bahasa Thai : Ma-muang
Tagalog: Mangga
Khmer : Mak mouang
Burma: Thayet
Vietnam: Xoài

Kedudukan taksonomi

Domain: Eukaryota
Kingdom: Viridiplantae
Filum: Spermatophyta
Sub filum: Angiospermae
Kelas: Dicotyledonae
Order: Sapindales
Famili: Anacardiaceae

Mangga (umum)
Mangga ( Mangifera indica ) ialah buah yang popular di tropika. Biasanya buah ini berbentuk ginjal, walaupun ada varieti yang berbentuk bujur dan bulat. Kulit buah yang masak berwarna hijau atau kuning. Pada beberapa varieti terdapat sedikit warna merah atau oren. Isi mangga yang berwarna kuning atau oren ialah adunan rasa manis dan masam yang enak dan mempunyai aroma yang wangi.

Pokok mangga tumbuh cepat dan menegak dan mempunyai kanopi yang lebar atau bulat. Pokok ini boleh hidup lama dan berbuah secara berterusan sepanjang hayatnya. Pokok mangga yang ditanam secara komersial dibiakkan secara cantuman. Pokok cantuman mula berbuah pada usia 3-5 tahun. Biasanya 1-2 musim berbuah dalam setahun, kecuali jika pekebun menggunakan bahan perangsang (hormon-paclobutrazol) untuk mengaruh pembungaan di luar musim. Pokok mangga boleh hidup di pelbagai jenis tanah, walaupun ia lebih subur di tanah dalam yang subur dengan pH 5.5-7.5. Pokok mangga amat sesuai di kawasan yang mempunyai tempoh kering (2-4 bulan) yang nyata dalam setahun dan suhunya 24-30 o C. Cuaca kering semasa tempoh berbunga ialah masa terbaik untuk pengeluaran buah.

Pokok mangga banyak ditanam di Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak. Dusun yang kecil juga terdapat di Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor. Kebanyakan buah mangga Malaysia dieksport ke Singapura, Brunei, Indonesia dan China. Dalam tahun 2000, nilai eksport mangga adalah sebanyak RM5 juta. Sungguhpun mangga popular untuk dimakan segar sebagai pencuci mulut, ia juga diproses untuk dijadikan jus mangga, serbet, jeli, cutni, dan jeruk. Mangga boleh juga dikeringkan, didihidratkan atau disejukbekukan. Kedua-dua buah yang hijau dan yang masak juga boleh digunakan dalam hidangan berperisa.

Asal dan sejarah
Genus Mangifera dipercayai berasal dari Asia Tenggara, walaupun M. indica mungkin tumbuhan semula jadi India, yang ditanam beribu tahun dahulu. Dari India ia merebak ke Asia Tenggara, kemudiannya ke dunia baru dan Afrika.


Varieti
Terdapat berbagai varieti yang disyorkan untuk penanaman komersil

Chokanan
Bentuk : Oblong (segi empat memanjang)
Berat : 250-350g
Warna : Kulit kuning keemas-emasan dan isi oren kekuning-kuningan
TSS(%) : 16-17%
Tekstur & Rasa : Pejal, sedikit berserabut, manis dan beraroma
Harumanis
Bentuk : Ovat oblong (segi empat memanjang dan membulat)
Berat : 350-550g
Warna : Kulit hijau gelap dengan sedikit warna kuning pada bahu buah dan isinya warna oren kuning
TSS(%) : 16-17%
Tekstur & Rasa : Halus, manis, beraroma

Sala
Bentuk : Oblong (segi empat memanjang)
Berat : 450-600g
Warna : Kulit hijau kekuning-kuningan dan isi kuning
TSS(%) : 10-12%
Tekstur & Rasa : Sedikit berserabut, kurang manis

Mas Muda
Bentuk : Ovat oblong (segi empat memanjang dan membulat)
Berat : 400-500g
Warna : Kulit dan isi kuning
TSS(%) : 14 -15%
Tekstur & Rasa : Pejal, halus, manis, sedikit beraroma

Siam Panjang
Bentuk : Oblong dengan hujung membengkok dan menirus
Berat : 300-500g
Warna : Kulit hijau kekuning-kuningan dan isi kuning
TSS(%) : 13 -15%
Tekstur & Rasa : Halus, manis, sedikit beraroma

Maha 65
Bentuk : Oblong (segi empat memanjang)
Berat : 500-600g
Warna : Kulit hijau kekuning-kuningan dan isi kuning pucat
TSS(%) : 14 -15%
Tekstur & Rasa : Halus, manis, sedikit beraroma

0 Comments:

Post a Comment



 

blogger templates | Make Money Online