Isnin, Jun 30, 2008

Bulan ni agak mengarut sikit... kerja aku banyak bertangguh.. macam2 ada... tapi datangnya dari aku sendiri.. Bulan ni bulan 'MALAS' bagi aku... bukan bulan tapi AKU! Entah apa sebabnya aku pun tak tau, tapi nasib baik kerja semua dah hampir selesai, cuma nak merumpai je lagi... Tapi kerja2 merumpai kene tangguh2 sebab cuaca kebelakangan ni hujan pulak saban hari. Tak hujan waktu pagi, turunnya waktu petang. Kadang2 seharian aku duduk rumah, tak buat apa pun. kalau ada line internet kat Rembau boleh juga update apa2 yang patut. Ni PC kat PD. Bila la agaknya nak beli laptop dengan broadband... boring2 leh jugak surfing di bawah pokok mangga... hehehehe. Barulah petani moden..kikikikiki. Blog HSP ni pun dah tak ada ape yang menarik... entah kenapa kini aku semacam ketandusan idea... Nak tulis apa pun dah tak tahu... Bila ada idea, nak menulis, line internet pulak slow..(walaupun aku guna streamyx). Slow pun slow lah...

Dalam bulan ni je boleh dikatakan tiap2 minggu ada kursus kelolaan Jab.Pertanian Rembau. Pergilah jugak walaupun semua kursus tu aku pernah hadiri, bukan apa, 'just to refreshen things up'... omputih cakap ulangkaji... hehehe. Dari kursus pembajaan sampailah ke kawalan perosak. nanti kalau ada kelapangan, aku akan update bab2 pembajaan. Mungkin juga masukkan bab membuat baja teknik 'Natural Farming' memandangkan peningkatan kos baja dipasaran sekarang. Insyaallah.

Banyak juga gambar2 yang aku ambil cuma tak postkan je lagi dlm blog... mcm dah jadi cerita basi je... Apa2 pun aku postkan jugaklah...

Gambar Kursus cantasan mangga ( Lokasi: Kebun aku)

Kursus ini dibuat untuk memberikan gambaran teknikal sebenar cara2 & pemilihan dahan2 yang perlu dicantas/potong. Para peserta terdiri daripada Pembantu Pertanian kawasan & Peg. Jabatan Pertanian daerah. Tak tahulah siapa yang bagi penerangan/pengajar kursus tu sebab aku sampai lewat. (Aku tak diberitahu perubahan tarikh kursus). Yang aku tahu, teknik yang diajar banyak yang perlu diperbetulkan. (hehehe patutnya aku yang mengajar)

Pn Hasnah (PP kawasan aku) sedang memotong dahan besar pada pokok mangga aku yang tengah berbunga... haiyaaa??!! Penat aku maintain cabang dahan tu...




Pelajar2 IPTA yang sedang praktikal di Jab. Pertanian Rembau ambil bahagian dalam kursus. Mengecat bekas dahan yang dipotong. Kalau ikutkan, sepatutnya dahan tu dipotong bawah lagi... yang ni nanti cabang baru akan naik dari paras bahu, nanti berbuah susah nak capai. (huhu.. nak kena repair lak nanti...)


Asri beria2 memotong dahan..mentang2 pakai 'chainsaw'! (habis pokok aku..huhu)

Mana lagi pokok yang nak kene 'operate' ni?

Dahan mana nak pilih ni? Hmmm..susah2 tebang ajelah pokok ni! Hehehe
(Latar belakang rumpun serai)


Dalam asyik selalu pergi kursus ni, aku terpikir nak buat kursus penanaman serai. Amacam? Ok tak? Ingat nak buat di kebun aku je. Boleh aku tunjukkan sekali cara harvest, penyediaan benih, maintenance buang daun, penyediaan plot termasuklah praktikal menanam. Aku ingat sehari cukup kut. Tetapi peserta kena pakai pakaian ladang. Duduk dengar kursus bwh pokok.. sambil pekena angin kebun. baru best! Dgn cara tu, tak payahlah 'charge' mahal2. Memadai kos makan & kertas2 kerja yang akan diberi nanti. jumlah peserta dihadkan kepada 15 orang je satu sesi. Kursus buat hari sabtu & Ahad pada tiap minggu. Ingat kalau aku buat nak mula sesi pertama pada 19/07/08 ni. Yuran tak lebih RM100. Amacam, ok tak kawan2??? Tp aku tgh planning lagi ni.. Nk buat yang terbaik.... Insyaallah...

Rabu, Jun 11, 2008

Cerita ceriti

Hmmm...dah lama tak cerita pasal kebun... Kali terakhir pada April lalu. Dah tak tahu nak cerita apa dah, dah basi... hehehehe. Jalan ladang dah siap, longkang2 racik dah siap, serai pun dah siap bertanam 5000 rumpun. Sedang membesar sihat walaupun musim panas tiba (sekejap je, dalam 3 minggu) Hasil musim lepas dah habis dituai. (sorri kwn2.. x inform... hasil kurang musim ni) Dapatlah dalam 100kg je bagi kawasan 1 ekar setengah. biasalah ups n down hasil. tp musim ni paling teruk. Alhamdulillah, ada juga duit sikit. Hasil berkurangan secara drastik kerana pada peringkat awal berbunga, musim hujan pun datang. hari2 hujan lebat. Bila buat dah lekat, lembu2 pulak berkampung. Selesai berkampung, si kera2 siluman pula buat onar. Mana nak dapat banyak. Walau apapun, aku tetap bersyukur. Ketika ini, pokok2 kembali lebat berbunga. Cepat pulak keluar selepas tamat musim buah yang lalu. Tak perlu tunggu sampai sebulan. Buah habis je terus keluar bunga baru. Ada hikmah rupanya pada yang bersabar dengan dugaanNya itu. Alhamdulillah. Bunga baru keluar, rutin biasa pun bermula, selang 10 hari kena meracun bunga, elakkan serangan kulat & thrips. kalau tak, kulit buah nanti tak cantik dan silap2 putik pun tak lekat. Dalam seronok2 nak meracun, pam racun pulak buat hal... haiyaaa... Tertunda kerja aku... cukup tak berkenan kena mcm ni. Tp Alhamdulillah, dah tukar karuretor baru, barulah cargasss!!( Mat Gong, pam ko ni dah tua sangat! Hehehehehe. ). Kawasan rumpun2 serai perlu diracun, rumput dah meninggi, hemmmm payah juga kalau kerja sorang2 ni. Kalau dah kawin, bolehla jugak 'mem' tolong. Hehehe.... Sabor sabor!


Minggu lepas kebun aku diserang oleh pegawai2 jabatan pertanian daerah... Kursus memangkas/pruning pokok. Patutnya minggu ni. Ntah macam mana dicepatkan pulak. Aku sebagai tuan kebun tak pulak diberitahu. Apalagi, tengah bermalas2 di pagi jumaat kat rumah, call masuk. Peserta dgn pegawai dah berkumpul di kebun. terperanjat beruk aku. Naya betul. Dengan pantas aku memecut moto cabuk aku balik ke Rembau. Sampai2 diorang dah mencantas pokok2 aku... jadi bahan ujikaji.... ntah hape2 rupanya dah... tak palah.. Heran juga, mana diorang belajar pruning pokok ni. hehehehe. Kenalah aku ajar balik & membetulkan mana yang tersilap. Kadang2 aku kecewa gak dengan jabatan Pertanian ni, pengetahuan pada mereka agak kurang berbanding pengusaha, selalu jugak aku tengok cara yang kurang berkesan diajarkan. Ilmu pada pegawai agak kurang. Bila berkursus, mereka lebih suka duduk belakang lepas berbual2. Apa ilmu yang dapat? Bila balik dari kursus buat pengembangan dikawasan penyeliaan mereka, informasi yang salah diajarkan. macam mana ni? Kementerian harus buat sesuatu bagi menambahkan ilmu2 pertanian kepada pegawai & pembantu pertanian kawasan. Tak kanlah Jabatan hanya menjadi tempat nak mintak bantuan peruntukan je. Mcm mana industri pertanian negara nak maju?

Baru2 ini, kita seluruh rakyat Malaysia dikejutkan dengan kenaikan 40% harga minyak. Terus hilang mood aku sampai sekarang. Apa ni Pak Lah??? Kata bulan Ogos baru naik?? Cakap tak serupa bikin. Bukan kali pertama Pak Lah buat mcm ni.... Aku setuju kalau kerajaan nak kurangkan budaya subsidi ni... TETAPI... buatlah kajian menyeluruh! Fikirlah impak yang akan diterima rakyat! Kalau dulu aku ulang alik ke Rembau, minyak hanya RM6 sahaja. Sekarang dah RM11 dah! Harga barang semua pastinya kan naik! Tol sedikit masa pasti naik... kalau yang makan gaji pun dah pening kepala, apatah lagi aku yang bergantung harap pada tanaman. Aa hasil, adalah... tak ada? Parahlah. Kos2 yang berkaitan dah tentu meningkat. Kerajaan patutnya cari dulu mekanisme mengawal harga dipasaran sebelum buat keputusan menaikkan harga minyak. cakap tak serupa bikin. Subsidi diberi kepada rakyat berupa wang tunai kepada pemilik kenderaan, kepada yang naik basikal dan jalan kaki dapat apa??? Harga barang tentu naik... apa pula bentuk bantuan kepada mereka ni? Sistem pengangkutan awam masih lagi tak efisien, macam mana nak guna perkhidmatan pengangkutan awam kalau nak berjimat? Sedangkan keselamatan pengguna pun tak terjamin. kadar jenayah sebelum ni pun dah meningkat. Sekarang, bila harga barang semua naik... kadar jenayah pasti lagi naik. Kebanjiran PATI masih tak dapat dibendung. Yang datang belum tentu dapat kerja, sudahnya bergelandangan menjadi penjenayah antarabangsa!. Rakyat kita sendiri susah nak dapat kerja, yang baru keluar Universiti pun cari kerja bagai nak gila. Pinjaman pelajaran harus dilangsai, hidup kene diteruskan.. sudahnya ke Hospital bahagia! Apa sudah jadi padamu Malaysia ku tercinta??? Adakah Pak Lah balas dendam pada rakyat atas kejatuhan saham Barisan Nasional pada pilihanraya baru2 ni??? Entahlah...Bagi aku, memang perit, bengang, tension semua aku rasa. Sebelum minyak naik awal tahun ni pun, harga baja dah melambung naik. dari RM80 kepada RM 150 per kampit 50kg. Sekarang??? lagilah naik!!! Tu baru baja.. belum lagi racun2. Kalau dulu rajin jugaklah kalau nak mesen rumput... Sekarang?? Meracun rumput jelah jawabnya. Yang menghairankan... Kos makin meningkat.. tetapi harga hasil dr ladang... masih ditakuk lama... Kalau dari dulu aku boleh 'survive' sekarang ni...Entahlah....Macam mana lagi aku nak jimatkan kos projek pun dah tak tahu dah. Sokay... I'll find a way!! Be positive man!!!

Selasa, Mei 27, 2008

Salam pada rakan2 tani & bloggers semua. Maaf kerana lambat meng'update' HSP ini. Agak sibuk sedikit. Kepada rakan2 blog yang sudi melawat kebun saya tempoh hari, terima kasih saya ucapkan. Berikut adalah soalan2 lazim yang biasa diutarakan mengenai tanaman serai.



A) Penyediaan Kawasan

1. Dalam penyediaan kawasan tanaman, perlukah dibajak dan digemburkan tanah? Kenapa perlu dibuat?

-i) Bagi setiap kawasan tanaman, adalah disyorkan dibuat dahulu proses membajak & menggembur tanah. Ini adalah kerana prosedur tersebut membantu memperbaiki perudaraan tanah disamping membalik2kan tanah dan memotong benih2 rumpai asal tapak projek. Proses ini juga membantu menambah/menggaul bahan organan asal dilapisan tanah. (percampuran humus dlm tanah) Menambah bhn organan bermaksud, apabila tanah dibalikkan, rumpai2 yang asal akan mati & akan menjadi bahan organik kembali kedalam tanah.
ii) Apabila proses diatas dilakukan, penanaman akan menjadi lebih mudah, kerana tanah sudah lembut, memadai mencucuk benih sahaja kedalam tanah tanpa perlu menugal atau mencangkul. Ini lebih menjimatkan masa dan tenaga.
iii) Apabila tanah dalam keadaan gembur, akar2 serai akan mudah memegang partikel2 tanah dan anak2 serai mudah bercambah berbanding tanah yang keras.
iv) Keupayaan daya simpanan air dalam tanah akan lebih tinggi/bertambah, mengurangkan risiko tanah menjadi kering. Baja juga lebih mudah diserap kedalam tanah & ini memudahkan akar menyerap nutrien dalam tanah.

2. Perlukah dilakukan pembajaan asas pada tanah sebelum penanaman? untuk apa perlu dibuat pembajaan asas ini?

-i) Bergantung pada kawasan. Kalau kita pasti kawasan tersebut memang kaya dgn nutrien (subur) tak perlulah dibuat pembajaan asas. Tetapi sebaiknya ditabur terlebih dahulu baja organan (baja organik spt tahi lembu, kambing atau ayam: bagi tahi ayam, elok dibakar dahulu kerana kebiasaannya tahi ayam dicampurkan sekali dengan habuk papan, ini boleh menggalakkan anai2). Kalau ditabur baja organik yang telah diproses lebih baik.
ii) Tujuan dibuat pembajaan asas ini adalah untuk memperbaiki juga pengudaraan tanah disamping menambah nutrien dalam tanah. Perlu diingat, penggunaan baja organik adalah bersifat slow-release yakni memakan masa untuk larut dalam tanah. Ia bersifat lebih kepada baja jangka panjang. Memadai sekali pembajaan asas untuk 2 musim tanaman. (1 tahun)

3. Benarkah menggunakan baja organik pada tanah sebagai proses penyediaan tanah tidak digalakkan? Benarkah ia akan menyebabkan serangan perosak? Jikalau boleh digunakan, pada masa bilakah baja itu boleh ditabur?

-i) Tiada sebab kukuh untuk menidakkan penggunaan baja organik diperingkat pembajaan asas kawasan projek. Jikalau diperingkat serai sudah ditanam mungkin ada kebenarannya. Perosak yang biasa menyerang kebiasaannya anai2 (konpom) & ulat pengorek batang (tidak dapat disahkan diakibatkan oleh baja organik). Ulat pengorek batang biasanya menyerang tatkala serai makin merimbun, dan dalam keadaan cuaca yang lembab. keadaan kawasan projek yang tidak diuruskan dgn baik (rumpai yang tak terurus) biasanya menyumbang kepada masalah ini. Atas sebab faktor slow-release baja organik, maka baja organik tidaklah disyorkan bagi pembajaan selepas penanaman. (kadar baja organik diserap lambat)
ii) bagi pembajaan asas, baja bolehlah ditabur ketika tanah sudah siap dibajak, tetapi sebelum proses penggemburan dilakukan (rotor). Tujuannya supaya baja organik tersebut mudah digaulkan dan sebati didalam tanah.


4. Tanah jenis apakah yang sesuai untuk ditanam serai?

- Serai sesuai ditanam bagi kebanyakan jenis tanah, asalkan tidak terlalu berasid (ph<4)>

5. Bolehkah serai ditanam dikawasan tanaman getah atau kelapa sawit atau antara tanaman naungan lain?

- Boleh. Asalkan tanaman getah, kelapa sawit atau tanaman naungan lain (mangga,nangka & etc) itu diperingkat awal penanaman atau penanaman semula dengan kadar naungan yang minimum. Tidak lebih 40%. (serai yang ditanam dibawah naungan kebiasaannya berumpun kecil dan batangnya lembut)

6. Perlukah sistem pengairan dibuat?

- Serai tidak memerlukan air yang banyak. Tidak perlu disiram. Tetapi diperingkat awal penanaman, pemerhatian yang lebih diperlukan jika kita memulakan tanaman pada musim kering. 7 hari pertama ditanam adalah penting. Memadai disiram diwaktu pagi atau lewat petang. Jumlah air pun tidak perlu terlalu banyak. Serai berkeupayaan menyimpan air diantara celahan daunnya. (Adalah penting kita merancang waktu yang sesuai untuk ditanam bagi memastikan peratusan hidup yang tinggi bagi tanaman.)

7. Perlukah pengapuran (GML) dibuat terlebih dahulu?

- Pengapuran perlu dilakukan jika pH tanah adalah rendah (pH <4).>
Penggunaan kapur hanya untuk menaikkan pH tanah. pH tanah yang rendah (berasid) kan mengurangkan keupayaan baja anda kelak!! Kadar serapan baja oleh akar juga kurang. Tanaman juga kurang imun pada penyakit. (penyakit kulat)

8. Perlukah dibuat batas?

-Terpulang. Lebih baik x payah. Untuk apa menambah kos? TETAPI... jikalau kawasan yang biasa terendam atau berpaya ketika musim hujan, lebih baik dibuat batas. Serai tak tahan air banyak. Cepat reput. Sesetengah pengusaha menanam serai ala2 tanam jagung, serai ditanam dipangkal/leher batas. Setelah berumur 2 bulan, tanah dinaikkan (ridging) pada perdu menggunakan mesin/cangkul setelah pembajaan. Katanya lebih baik untuk melebatkan rumpun. (Wallahualam). Bagi yang ingin menjimatkan kos & masa , tak perlulah.



B) Pra-penanaman

1. Perlukah benih dirawat terlebih dahulu dengan racun kulat, atau direndam dengan hormon pengakaran?

- Terpulang, boleh buat jika mahu. Cuma kalau rendam dengan racun kulat, masa menanam kena pakai sarung tgn getah. Bahaya main racun! (x perlu pun). Tentang hormon penggalak akar tu, boleh juga, nak cepatkan pengeluaran akar. Jenis hormon x pasti pulak. tetapi memadai menggunakan CIRP (Christmas Island Rock Phospate), segenggam untuk 20-30 liter air sudah memadai. Rendaman x perlu lama, celupkan sahaja dah cukup. Bagi nak jimat kos lagi, rendam dulu benih semalaman dengan air biasa sebelum tanam pun dah cukup. Batang serai dah simpan air dan akar pun mudah keluar. Awas!! jagan rendam berhari2!! Reput benih nanti! Lagipun baunya... Sendiri mau hingat!!!!!!

2. Berapa lamakah benih dapat bertahan jikalau kita menyimpan dahulu benih (benih dah dapat tetapi tak sempat ditanam)

- Seminggu. Benih makin lama akan mengecut, batang pun akan jadi lembut. Jikalau terjadi situasi ini, disyorkan benih disimpan di kawasan teduh dan didalam bekas atau guni. Siramlah benih sekali sehari. (siram...bukan rendam). Biasanya dalam seminggu tu, kdg2 dlm 2-3 hari pun, akar akan keluar dan kdg kala tunas baru pun sudah mula keluar. Jangan risau. Selagi benih x kering luar & dalam, masih boleh digunakan. Insyaallah.

3. Berapakah jarak yang sesuai bagi tanaman serai? Bagaimanakah kesan pada tanaman jikalau tanaman ditanam dalam jarak yang rapat?

- Kebiasaannya, jarak yang disyorkan adalah 3x4 kaki. Ini bagi memudahkan pengurusan kelak. Tak terlalu rapat dan jauh. Dengan jarak ini, pengudaraan kawasan plot adalah baik, mengurangkan serangan ulat pengorek batang dan anai2. (kawasan tidak lembab). Jikalau ditanam terlalu rapat, perdu yang membesar akan kelak berlaga dengan perdu sebelah. Padat sangat. Silap2 serai tak dapat membesar dengan baik. Kalau padat sangat, ditakuti jadi perumah kepada tikus (tikus pun makan serai juga), ular pun akan datang. nak masuk pun takut. Akhirnya... tinggal macam tu je. Tanaman yang rapat juga akan menyebabkan persaingan untuk mengambil nutrien dalam tanah. kelak selepas semusim, kena buat pembajaan asas sekali lagi kerana tanah telah nutrient-exhausted. lagi pun tengok pun semak je mata ni! hehehe. kalau nak dibuat jarak 2x3 kaki pun boleh tetapi pemangkasan daun kena dibuat selang 2 bln. Baja pun pakai lebih. Seeloknya gunakan jarak 3x4 kaki.

4. Berapakah umur serai yang sesuai untuk dijadikan anak benih?

- Umur serai yang sesuai dijadikan benih adalah 4 bulan keatas. Rumpun tak matang pun boleh juga dibuat benih. tak ada masalah, cuma kelak takut rumpun lambat besar. Dalam 1 bulan (kalau gunakan sebatang benih yang matang) selepas menanam, anak yang keluar mungkin antara 5-8 anak. kalau gunakan benih muda, anak yang keluar mungkin dalam 3-4 anak shj. Lagipun peratusan nak hidup tu agak rendah. Elok2 6 bulan dah boleh tuai, kena tambah lagi 2 bulan atau lebih untuk dituai. (Pengalaman aku tanam guna anak tak matang kecil sedikit dr pen kilometrico ok juga... tanam sebatang dpt 10 kg serumpun. TETAPI setahun la menunggu!) Macam manusia, kawin perempuan muda, mudah dapat anak banyak... kalau yang dah berumur susahla sedikit. hehehehe. (sori.. x relevan). Lagipun dalam satu rumpun, bukan setiap btg dlm rumpun tu sebaya! Setiap bulan akan keluar anak2 baru.

5. Adakah serai yang mempunyai saiz besar sahaja yang sesuai dijadikan benih?

- Tidak. Benih kecil juga boleh. Bayangkan dalam serumpun dituai, takkan dalam serumpun tu semuanya bersaiz unifom (sama je). Mesti ada yang kecil kan. Kebiasaannya pengusaha akan buang anak2 kecil ini. Rugi woooo!! Kalau serai yang besar tu nak dijual & dibuat benih..kan dah bersaing? Elok2 dapat tuaian banyak, dah nak kena asingkan sikit untuk benih. Jadi gunakan yang saiz kecil tu untuk dibuat benih. Soalan no 4 & 5 sebenarnya sama. Jawapan pun hampir sama. Cuma saiz je jadi ukuran. Tapi kalau kecik sangat besar togeh tu, tak dapat den nak tolong dah.. konpom payah hidup.

6. Berapakah kepadatan optimum bagi satu ekar kawasan tanaman? (bilangan rumpun)

- Bergantung kepada jarak tanaman. Kebiasaannya dengan jarak 3x4 kaki, satu ekar boleh dapat 4 ribu rumpun serai. Lagi kurang jarak, lagi banyak rumpun boleh dapat.


C) Penanaman

1. Bilakah masa yang terbaik untuk menanam serai? Waktu pagikah? Tengahari? atau petang?

- Waktu petang sebenarnya, benih akan menempuh malam yang sejuk. Kadar risiko kehilangan air dalam btg akan kurang. Pagi pun ok, tanah masih lembab. Cuma benih akan menempuh tengahari yang panas. Tengahari? Jangan buat gila. Kita sendiri pulak yang tak tahan panas. Hehehehe.

2. Perlukah ditugal atau dicangkul dahulu poin2 tanaman?

- Jikalau kita sudah buat prosedur penyediaan kawasan (bajak & gembur) tak perlu kita menugal atau mencangkul dah. Tanah dah lembut. memadai dicucukkan sahaja benih tersebut. lainlah kita tak bajak & rotor. Tanah masih keras. kalau paksa juga, mau patah benih tu kan?

3. Yang mana lebih bagus? Tanam tegak, atau menyerong/senget?

- Yang ini ada banyak pendapat. Ada yang syorkan tegak supaya diwaktu malam, embun yang terbentuk mudah masuk melalui celahan daun benih. Jadi risiko kering berkurangan. Bezanya cuma hasil kelak. Tanam tegak, boleh mengakibat pereputan pada bahagian tengah rumpun. kerana benih asal akan mengecut , kering & mati setelah anak2 keluar. Tanam sendeng x ada masalah. ada yang mengatakan bila tanam sendeng, anak akan keluar lebih banyak. Kalau kita lihat org tanam tebu dan ubi, diorang tanam tegak ke senget? Itu sebagai contoh sahaja. Saya sendiri tengah buat eksperimen. Kebiasaan saya tanam sendeng.

4. Berapakah jumlah batang benih yang sebaiknya ditanam? 1,2,3 atau 6? Adakah bilangan benih yang ditanam pada satu poin mempengaruhi penghasilan/saiz rumpun?

- Bab ni perlu penerangan panjang lebar sedikit. Jumlah benih ditanam pada satu poin memang mempengaruhi penghasilan/saiz/pemasaan tuaian bagi serai.

ia) sebatang benih - Setelah sebulan ditanam, anak serai yang keluar dr benih asal (purata) adalah sebanyak 5 btg, bln ke 3: +/- 25 btg, bln ke 6: +/-125 btg. (dengan mengambil kira, anak yang keluar ambil masa 3 bulan untuk keluarkan anaknya pula). Jika diambil kira sekg serai purata 30 btg, satu rumpun mengeluarkan purata 4.1kg serai. Jadi seekar (4000 rumpun) menghasilkan +/- 16.5 tan serai semusim. Jikalau dijual dgn harga 80 sen sebtg, maka pendapatan kasar adalah sebanyak RM13,200. Namun risikonya disini, benih ditanam 1 batang, kalau mati, dah lompong. Terpaksa sulam lg sekali. Dah rugi masa. Jadi utk selamat, tanam 2 batang. Bila ditanam 2 btg selubang, hasil tidak akan bertambah 2 x ganda, cuma naik sekali ganda setengah kerana persaingan ruang untuk pengeluaran anak2 baru. Purata dalam 6.25 kg serumpun. Seekar dapat 25 tan. Pendapatan kasar dalam RM20,000

ib) 3 btg benih, (ditanam mcm lambang mercedes, 3 penjuru selubang/ poin) Bulan 1: 15 anak, bln ke 3: 45 btg. & bulan ke 6 +/- 225 btg. Purata dalam 7.5kg serumpun. Seekar dapat dalam 30 tan. Pendapatan kasar pula dalam RM24,000.

ic)6 btg benih, bkn ditanam btk 3 penjuru, tetapi bentuk bulatan heptagon (6 penjuru- supaya tanaman tidak terlalu padat): Bulan pertama: 30 anak. , Bulan ke 3: 150 anak. Bulan ke 6: 450 btg, (jika sebtg keluarkan 3 anak kerana kepadatan tinggi). maka serumpun purata dalam 15kg. Seekar mengeluarkan 60 tan serai. Pendapatan kasar RM48,000.

* Harus diingat, kos pengeluaran bagi 3 cara diatas juga berbeza, jumlah pembajaan juga berbeza. Lagi banyak lagi tinggi kos. Jika ditanam 6 btg, jarak tanaman mungkin perlu dijarakkan lagi bg memberi ruang tanaman untuk membesar dengan baik. Mungkin jarak 4x4 kaki lebih wajar. Jadi bagi seekar, bilangan rumpun mungkin akan berkurangan, pendapatan diatas juga harus dianggarkan berkurangan. Pembajaan/pemulihan tanah semula selepas tuaian mungkin wajib dibuat kerana tanah telah kekurangan nutrien secara drastik.

* Pengiraan diatas adalah dibuat melalui pengalaman saya selama ini. Keputusan yang tepat masih boleh dipertikaikan. Jumlah penghasilan bergantung kepada cara kita menguruskan ladang kita. Kesuburan tanah & cuaca juga memainkan peranan penting.

5. Berapakah purata bilangan seseorang itu boleh menanam serai sehari?

- Yang ini bergantung kepada tahap kerajinan anda. Seorang boleh mengerjakan setengah ekar serai/sehari. Lebih baik dibuat berdua atau lebih. Seronok sedikit. Boleh ajak berlumba, siapa dapat tanam lebih... hehehehe. Ikutkan seekar serai boleh ditanam dalam sehari shj.

6. Perlukah disiram selepas penanaman?

- Bergantung pada musim anda menanam. Jika dah rendam semalaman, Insyaallah tak ada masalah. Eloklah dipantau. agak2 layu tu siramlah.

D) Penjagaan

1. Berapakah kekerapan membaja?Apakah baja yang sesuai bagi tanaman serai?

-i) Hujung bulan pertama- Baja urea. Ditabur dalam sesudu besar sekeliling perdu.
ii) Bulan kedua - Baja urea. Ditabur sekeliling perdu pokok. Dilebihkan sedikit.
iii) Bulan ketiga - Baja NPK 15:15:15. Ditabur disekeliling pokok. Segenggam seperdu.
iv) Bulan keempat - Baja NPK 15:15:15. sama seperti diatas. kalau ada yang kandungan nisbah P tinggi lagi bagus. Untuk batang yg besar.
* bagi bulan ke-5 & ke-6 tak perlu lagi. Hasil tunggu untuk dituai. kalau dibaja takut batang akan jadi mudah rapuh pulak.

2. Perlukah dibuang daun/ dipangkas/trim daun? Berapa pula kekerapannya?

- Tak dapat dipastikan pulak keperluannya dari segi saintifik. Setengah pendapat kata perlu untuk membuatkan batang serai lebih besar. Tetapi dari segi agronomi penjagaan, ia lebih kepada kosmetik, yakni memudahkan pengurusan & pembajaan nanti. Kalau lebat sangat daun, takut pula rumpun jadi lembab. jadi perumah kepada musuh2 tanaman. Jadi sarang tikus dan ular. kekerepan pangkasan dibuat 2 kali semusim. Pertama ketika tanaman berumur 3 bln, kedua ketika hendak dituai bagi memudahkan penuaian. Pangkasan dibuat 11/2 kaki - 2 kaki dari paras tanah.

3. Kawalan rumpai? Apakah cara yang paling praktikal? Kekerapan nya pula bagaimana?

- Ada 2 cara, Pertama mesin rumput, kedua meracun. Meracun adalah lebih praktikal. Racun yang digunakan ialah Basta. (bukan sembarangan Basta, gunakan Basta khas utk tanaman padi). Untuk menjimatkan kos, Racun Diuron atau Gesaprim juga boleh digunakan. Serai tidak akan mati kalau digunakan racun2 ini. Kekerapan merumpai bergantung kepada keperluan. Agak2 dak panjang sgt rumput 2, meracunlah. Biasanya dibuat 2-3 kali semusim.

4. Bagaimana dengan racun perosak? Perlukah?

- tak perlu racun perosak. Buat tambah kos. Pengurusan ladang yang betul, penjagaan plot yang bersih, sudah cukup menghindari perosak. Amalkan Amalan Baik Pertanian!!!

E) Tuaian

1. Berapakah umur tanaman yang sesuai untuk dituai?

- 6 bulan keatas. Biasanya 6 bulan. Jadi dalam setahun boleh dapat 2 pusingan.

2. Berapakah jumlah tenaga kerja yang diperlukan untuk menuai seekar plot dalam sehari? Berapa pula kosnya? Wajarkah?

- Sebenarnya jumlah dituai sehari bergantung kepada pasaran yang anda perolehi. Kalau seekar bermakna anda menuai sehingga 16 tan serai sehari (minimum hasil). Kos tuaian mungkin boleh dicapai sehingga RM2000 sehari. Seorang maksimum boleh keluarkan 200kg sehari, maka anda mungkin perlukan sehingga 80 orang pekerja untuk menuai 16 tan serai sehari. jika upah sehari seorang pekerja adalah RM25 maka kos menuai adalah sebanyak RM2000. Kewajaran mengusahakan tuaian begini bergantunglah pada anda dan pasaran anda. Mungkin nak cepat tanam semula tak pastilah saya. Fikirkanlah.
* Ikutkan secara realiti, untuk mengeluarkan sehari 200kg pun perlukan sekurang2nya 3 orang pekerja. (kalau serai nak dibersihkan untuk pasaran pasar tani.) kalau jual untuk pengeluaran minyak serai, lainlah pula halnya. x payah nak bersihkan. cerai2kan shj dan dibersihkan.

3. Berapakah purata seseorang boleh menuai & membersihkan serai sehari? (kg)

- Ikut lumrah manusia biasa 100kg maksimum. Kalau mcm robot lainlah. Itupun bergantung kepada spesifikasi pasaran.

4. Perlukah membuat penggredan? Bagaimana dengan serai yang kecil? Bolehkah digunakan sebagai benih kembali?

- Tak perlu penggredan. agak2 sahaja. kalau kecil, buatkan benih. kalau untuk pemprosesan menjadi serbuk atau minyak, kecil atau besar semua boleh dipakai.

5. Selepas tuaian, bolehkah tapak asal terus ditanam semula? Perlukah diulang prosedur asal awal penanaman?

- Boleh. ambil jarak sekaki dari poin asal. Cuma kali ni mungkin perlu ditugal atau dicangkul. Ditakuti tanah sudah keras dan padat. kalau nak, cuma perlu merotor sahaja. selepas 2 musim berlalu, barulah diulang prosedur bulan pertama.

F) Pemasaran

1. Bagaimanakah cara dipasarkan?

- serai boleh dipasarkan untuk 4 cara.
i) penghasilan benih (penjualan benih)
ii) dipasarkan ke pasar2/kedai2 tomyam. (bidang peruncitan)
iii) Untuk pemprosessan. Dijual terus kekilang pemprosesan untuk dijadikan serbuk. (cthnya ADABI)
iv) Untuk pengekstrakan minyak

2. Kontrak Farming, Baguskah? Sesuaikah saya menceburkan diri dalam pertanian kontrak?

- Terpulang kepada anda untuk memilih. Jika anda memilih untuk harga yang tinggi, pasarkanlah sendiri. Kontrak farming ni ada terma2 dan syarat2 yang perlu dipatuhi. Memang benar pasaran terjamin. Tetapi awas, berhti2lah memilih syarikat yang menawarkan kontrak farming. Ada yang telah tertipu dengan mereka ini. Buatlah kajian serta pengiraan kos serta anggaran kasar pendapatan dahulu. Buat perbandingan antara kontrak farming atau usahakan sendiri. Selebihnya terpulanglah kepada anda untuk memilih.


Adalah diharapkan rakan2 dapat maklumat sedikit sebanyak daripada Q&A mengenai serai ini. Bab2 pengiraan hasil hanyalah berdasarkan anggran. Ketepatan atau kejituan keputusan masih boleh dipertikaikan. Jikalau ada sebarang soalan tambahan, silalah usulkan diruang komen/ulasan. Sama2lah kita majukan diri kita demi keluarga, bangsa & agama. Disebalik kekurangan serta penyampaian post kali ini, ampunkan lah saya.


Sabtu, Mei 03, 2008

Assalamualaikum w.b.h... Salam muhibbah buat semua pengunjung HSP. Terima kasih atas sokongan serta komen yang membuat HSP masih berdiri hingga hari ini......

Dewasa ini, setelah Sektor Pertanian dinaik tarafkan, di tinggikan martabat di mata umum, menjadi bidang yang agak glamer gitu, ramai yang ingin menceburi bidang ini. Bak kata omputih...'to get a piece of the cake'. Ramai yang sanggup mengeluarkan belanja demi mendapatkan ilmu pertanian daripada macam2 kursus yang ditawarkan. Setelah menghadiri kursus dengan bayaran yang mahal... kita masih lagi tercengang2... Kenapa ye?

Kebanyakan syarikat atau individu yang menganjurkan kursus kebanyakannya hanyalah lebih menjuruskan kepada pertanian kontrak. (contract farming). Isi kursus pun mengenai kontak. bab2 teknikal kebanyakannya seperti disimpan2. Kalau dah sain kontrak, barulah pakar2 teknikal akan datang bagi khidmat nasihat. Dahlah kursus kita bayar, benih dan input kita bayar dengan nilai tinggi, hasil kita pulak dibeli kembali dengan harga yang rendah! No way man.... Ini tidak adil.... Kenapa pentingkan keuntungan semata2 tanpa menghiraukan latar belakang peserta... Kenapa tak ditekankan hal2 teknikal projek? Takut peserta larikah? Ada syarikat yang mewajibkan peserta yang berminat membeli benih serta input dari mereka dengan harga yang tak masuk akal dan hasil peserta dibolot dengan harga yang rendah. Kenapa para peserta tak diberi kebebasan memilih input2 yang murah serta pasaran yang lebih tinggi supaya mereka mendapatkan margin keuntungan yang optimum? Nak dapatkan long term relationship atau long term untung'ship'? Ada juga yang menawarkan kursus, tetapi mereka sendiri tak mengusahakan bidang kursus yang mereka anjurkan. Apa ini?

Kenapa skop kursus hanya ditekankan kepada pemasaran sedangkan di peringkat awal penghasilan, peserta dibebani dengan persoalan. Apa yang perlu dibuat diperingkat awal?bagaimana teknik2 penanaman? Pembajaan? Skop bidang kerja? Ish..ish..ish...

Memang betul, ilmu tu kadang kala bukannya free.. bukan mudah nak diperolehi. Seorang petani yang berpengalaman pun makan masa juga untuk mendapat ilmu serta pengetahuan yang dia ada. Memang ada logiknya dia mengenakan bayaran sedikit untuk berkongsi ilmu, atau mungkin dengan cara itu, para 'pak tani to be' atau 'mak tani to be' itu akan lebih menghargai ilmu yang telah diperolehi. Walaupun ilmu tu kurniaan Allah, apa salahnya kita bantu juga 'cikgu2' kita tu kan? Sedangkan guru disekolah pun bergaji.. Ustaz-ustazah yang mengajar anak2 kita pun kita beri sedekah barang sedikit kepadanya. Tetapi aku tak kisah... Aiman tak kisah... hehehe. Yang aku kisahkan ni, yang ter'over' ni..... berpada2 sikit beb nak 'charge' tu.... kalau mahal berbaloi takpa. Ini setakat pengenalan kepada bidang usaha serta prospek pasaran serba sedikit dah 'charge' yang bukan2. Tolonglah jangan ambil kesempatan pada yang mencari ilmu ni. Begitu juga sebaliknya... Yang telah dapat ilmu tu bantu2lah apa2 yang patut pada 'cikgu2' atau sifu2 korang tu... kalau ada market baikkk punye tu... hulur2kan le sikit.... Sama2 ada give and take... Baru Melayu boleh maju!!!


p/s: Kepada rakan2 yang melawat, silalah klik2 ape2 yg patut pada add yg ada... walaupun x seberapa... lama2 banyak juga...heheheheh

Ahad, April 27, 2008

Alhamdulillah, syukur, minggu ni berjalan lancar... tiada gangguan makhluk2 penggemar mangga lagi... Syukur juga tak ada satu pun umpan yang dimamah monyet. Macam tau pulak benda yang aku gantung tu racun. Alhamdulillah lah selain tak makan, masuk kebun pun tak lagi. Selamat!! Agaknya monyet2 tu dengar kut aku cakap suruh jangan makan. Mcm kartun animasi terbitan filem negara dulu2, Kura2, kancil & monyet. Jangan monyet jangan! Benda tu tak boleh dimakan!



Pembinaan jalan & pemasangan pembetung

Hari Isnin, kontraktor pun dah mulakan kerja menolak/meratakan tanah untuk dibuat jalan, pembetung pun dah dipasang. Namun pada malamnya hujan turun tak berhenti2 sampai kepetang keesokan harinya. Jalan yang ditolak dirata habis berlopak, kebun habis bergenang dengan air, lambat air keluar, bertakung. Nasib baik longkang racik termasuk dalam spesifikasi projek. Lepas tu, pembinaan jalan kebun pun dihentikan sementara, terus buat parit dulu untuk buang air yag bertakung. Nasib baik kena pada waktunya. Hari Rabu sampai Khamis hujan tetap turun cuma sekejap2. Dalam tengah sibuk2 mengarah JCB buat kerja, menanam serai, sempat juga aku harvest cendawan busut yang tumbuh. Cuma agak terlewat, dah kembang dah pun. Nak jual buat duit malas pulak aku, aku kutip adalah dekat dua guni, aku bahagikan pada jiran2 sebelah rumah sewa dan kenalan kampung. Aku ambil secekak buat nasi goreng malam tu. Hehehehe.


Keadaan jalan yang baru ditolak & kebun yang bertakung air selepas hujan lebat,
dah siap longkang baru cantik!!! Air keluar macam jeram..hehehehe
Cendawan busut yang keluar selepas hujan
Dalam minggu lepas tu, banyak juga panggilan aku dapat bertanyakan pasal benih serai ni. Yang mana sempat capai tepon nk menjawab tu dapatla jugak berbicara, yang tak sempat aku jawab tu minta maaf ye. Dukacita dimaklumkan, masa kini, benih serai agak payah nak dapat. Mungkin ramai yang baru menanam untuk market bulan puasa dan Hari raya nanti. Dari utara sampai selatan, stok benih serai amat payah nak dapat. Kalau ada pun sedikit. Market untuk serai pun tengah boom sekarang, dipasar2 pun agak kekurangan. harga pun dah naik sedikit. Sekilo boleh sampai RM2.80 di Melaka (menurut rakan aku). Jadi harga ladang sekilo antara RM1.50 hingga RM2.00. Aku takda stok, baru nak tanam semula, baru siap 2500 batang tanam. Itupun sehari suntuk menanam. Nak patah pinggang dibuatnya. Untuk makluman rakan2, pasaran untuk serai ni janganlah dirisaukan sangat, banyak permintaan sebenarnya, macam2 boleh dibuat dengan serai ni. Dari jual benih, dipasarkan ke pasar2, untuk sektor pemprosesan, yakni untuk dibuat serbuk dan untuk ekstrak minyak. Penjual2 sate, tokey2 kedai tomyam pun banyak nak pakai. Jadi janganlah gundah kiranya anda tak tau mana nak dijual. Oleh kerana kurangnya bekalan serai tempatan kini, serai2 dari Thailand dah masuk kepasar2 borong sekarang. Namun apa yang diberitahu, serai peha ayam dari negara jiran kita ni, agak kurang beraroma sikit. Untuk buat minyak jauh sekali. Adalah tak mustahil, jika kita ramai2 boleh bekerjasama, suatu hari nanti, kita boleh jadi antara pengekspot serai ke luar negara. Insyaallah. Tak salah pasang impian tetapi bukan angan2.

Dalam dua minggu lepas ada juga rakan2 bloggers yang sempat singgah kekebun aku yang tak seberapa tu, yang semak tengah meninggi, berlecah dgn air hujan. Terima kasih kepada Kak Rohani, Wan, Jamri (semua org Melaka) kerana sudi singgah. Maaflah kalau tak dapat nak buat air ke, duduk tak selesa ke.... Apa nak buat, kebun ala2 kadar je... Buah mangga pun belum berapa matang lagi, tak dapatlah nak merasa. Kalau yang merasa pun buahnya sikit, tak berapa manis pulak kali ni... agaknya keluar masa hujan kut? Hmmmm....

Patutnya hari ni aku balik ke Rembau, badan rasa lesu pulak, hidung ni dah srooot sretttt, srotttt sreetttt...Yelah, Tiap2 hari hujan, tiba2 hari Jumaat sampai hari ni panas pula. Pinggang pun sengal2 je... Tengoklah dulu. Kalau agak2 ok, petang ni aku balik kebun. Risau juga, manalah tau, masa kita tak ada dikebun ni,masa tu lembu2 & monyet2 berpesta! Ikutkan malas aku nak balik PD, tapi dah berjanji dengan adik aku nak meneman dia pergi tengok projek cacing kawannya di Rantau semalam. Menarik juga projek cacing ni.Si Hakim (kawan sekerja adik aku) buat projek cacing dalam rumah sewa je... Uihhh!! Geliga sungguh... Dia sewa rumah sebulan RM100 untuk buat projek cacing. Kos permulaan RM3000 je. Tengok unjuran rancangan pendapatan sampai puluh2 ribu !! Lumayan!! Adik aku berminat sangat nak buat. Aku cuma bagi galakan je.

Sekitar lawatan projek ternakan cacing Lumbricus rubellus
Bab tanaman serai, aku terpikir juga nak buatkan kursus untuk penanaman. Dari A-Z. Dari tanam sampai marketnya. Cara pengeluaran dengan kos yang minimum. Ingat nak 'charge' sikit.. dapat top-up duit nak kawin nanti..hehehehe.....tapi entahlah. Kalau agak2 rakan2 boleh bantu aku yang dalam dilema ni... Silalah beri komen ya. Agaknya kursus sehari dengan peserta 20-30 orang boleh kut? Kalau nak saya bagi kursus ditempat saudara, silalah jemput saya di kebun... maklumlah saya ni pakai motor je... hehehehe. Itupun kalau ada yang berminat. Komen ye nanti... Komen..Jangan tak komen!

Ahad, April 20, 2008

Selepas lembu, masuk pula satu lagi kumpulan perosak.... Monyet!! Dugaan... Monyet2 ni memang nakal, dia boleh test sebijik2 buah, jumpa yang berkenan baru dia baham betul2, itupun tak pernah habis. Masalahnya, habislah buah mangga aku.... Rosak! Nak buat macam mana, dah dimamah... memang tak boleh dijual... nak dibuat jeruk, buah dah hampir matang, biji dalam pun dah keras, kumpulkan semuanya, bagilah pada monyet2 tu balik....




Untuk menyelamatkan saki baki mangga yang tinggal, terpaksalah aku umpan monyet2 tu dengan racun. Bagi ole-ole... aiskrim malaysia beracun... 2 perisa lagi, sirap dan oren.... dalamnya aku bubuh Furadan. Furadan ni memang bahaya...kalau monyet tu mati, bangkainya dimakan biawak, biawak tu pun boleh 'jalan'. Nak taknak je aku buat... kesian pun ada... tapi apa pilihan lagi yang boleh aku buat sekarang... harap2 monyet tu x makan lah.... Janganlah monyet tu masuk kebun aku dan terpedaya dengan 'jajan' aku tu.... Korang mainlah jauh2...



macam pokok krismas daaa.....


Racun Furadan didasar plastik 'aiskrim'

Dalam kerja yang tengah banyak, rumput yang dah makin menebal, Kontraktor JPS pulak nak masuk, nak buat jalan ladang yang baru dan membina semula parit2 perimeter yang dah cetek. (harap bila siap nanti, taklah lembu2 masuk lagi). Terpaksalah bawa kontraktor tu merancang kerja2nya... paip2 air kena bukak, nak pikirkan lagi layout jalan, parit tengah, nak bukak pagar lagi... Haiyooooo. Tapi walau apapun aku bersyukur dengan bantuan yang aku terima drpd JPS tu. Kalau aku nak buat sendiri...entah bila dapat aku buat...

culvert sampai..

Selasa, April 15, 2008

Buat rakan2 yang ingin melawat kebun aku tu, aku sediakan peta. Tapi sebelum datang, telefon dulu ya.... takut takda di kebun pulak.

*skroll hingga ke post yang terakhir di page ini untuk gambar yang lebih jelas. Untuk gambar ni, thumbnail x berfungsi plak.. ade sesapa leh bantu??

Jumaat, April 11, 2008

Semalam, hari Rabu, aku balik Rembau sekejap, nak bwk balik dapur gas untuk kenduri, sambil tu nak jenguk2 kebun, baru tinggalkan 2 hari dah rasa tak sedap hati, macam ada sesuatu je terjadi, sangkaan aku memang tepat, .................. LEMBU menceroboh kembali....!!!!!! Aduhhhhh... Macam tau2 aku takda, terasa gak bagai tuan lembu tu perhatikan aku.... Agak2 aku takda je, dia lepaskan lembu.. kadang2 semasa meronda, jumpe juga kesan2 pagar dipotong. Cuma aku tak mau pikir yang bukan2. Tak elok menuduh sembarangan. Baru 2 hari lepas aku tulis lembu tak menyusup masuk, alih2 dia lepas masuk juga. Tension betul.......



Lembu pun pandai makan mangga!!


Saki baki pokok yang berbuah makin tinggal sikit buahnya.... banyak yang dimamah, digugurkan dek lembu2 'educated' tu.... Sedih pun ade tapi geram yang lebih. Pucuk2 muda tak payah ceritalah...... Habis rosak... Kenalah tunggu lagi sebulan untuk keluar pucuk baru dan lagi 2 bulan untuk pucuk baru matang sebelum boleh keluar bunga balik ditempat yang dimamah tu.... Ya Allah, banyaknya dugaan. Lepas ntah tidak aku nak buat masjid sok ni.... 'Lahaulawala Quwwatailla billah Hil aliyyil azimmm'



Yang tinggal hanya tangkai!
Lepas memeriksa kadar kerosakan pokok dan buah (adala dekat2 10kg tak kira yang hampir matang dan putik) mulalah operasi meronda cari punca/jalan lembu2 tu masuk. Jumpa pun, lembu2 tu masuk setempat, tapi keluar banyak tempat... haiyaaaaa... betul2 kes naya. Yang aku perasan, lembu2 tu memang suka makan pucuk2 mangga, rumput tak la dijamah pulak. Memang sekeliling pagar rata & penuh tapak kaki lembu. pandai juga dia survey jalan. Lembu tu pandai pulak cari poin2 lemah pada pagar, sekali sandar je dah roboh... banyak juga tiang dah mereput... Yelah dah 7 tahun umurnya.. Aduh.. masak aku nak mengantikan satu2. Siap juga aku baiki pagar2 yang tumbang sorang2 tanpa Baharin. (Baharin pergi rumah makciknya untuk menolong pasang pagar... How Irony). Yang aku kesalkan, kenapalah tuan lembu tak ambik kisah lembu2 dia tu. Jagalah betul2. Kalau Setakat sikit takpa, ni dekat 40 ekor sekali terjah. Bela banyak2 tapi tak jaga elok2. Entah2 kalau aku kebas sekor dua pun dia tak perasan. Dulu pernah aku bersemuka dengan tuan lembu tu. Dia boleh sound aku balik..."Salah kau.. kau tak pagar elok2", Habis dia jaga lembu tu elok sangat ke? Aku tanya dia hukum, apa hukumnya rezki dari lembu tu kalau makan hak orang? Dia buat muka toye je.... Tak boleh nak kata apa dah... Otak pun macam lembu jugak.



Yang terselamat.. Alhamdulillah


Takpalah, selagi terdaya, aku sabarlah. Nak racun lembu2 tu tak tergamak aku. Ingat aku nak jumpa DO nak bincangkan hal ternakan yang lepas bebas ni. Yang aku hairan, kenapa lah Jab.Haiwan boleh buat tak tau je dalam hal ni. Semua lembu tu ada tag pulak kat telinga tu. Tak periksa betul2 ke latarbelakang penternak sebelum bagi bantuan. Ada ke kawasan meragutnya. Ini tiap2 tahun bagi.. makin lama makin banyak... tanam rumput tak mahu, nak free aje. Jual pulak mahal2. TAMAK betul! Yang lingkup, aku... Tertangguh2 nak dapat hasil. Dugaan......



Rumput sekejap sahaja dah naik panjang, dah tutup batas

 

blogger templates | Make Money Online